Pengumuman

Harga bagi pakej-pakej kompang untuk tahun 2016 adalah kekal dan tiada perubahan. Jadual untuk tahun 2016 akan dikemasikini dari masa kesemasa.

Promosi

Kami membuka untuk anda mempromosi segala produk untuk perkahwinan sama ada katering, pelamin, PA system, kompang dan lain-lain yang berkaitan. Berminat boleh hubungi kami melalui telefon, whatsapp, tweeter dan email. Sertakan nama, produk, nombor hubungan, dan jika ada laman web anda.

Sejarah

SEJARAH PENUBUHAN


PENGENALAN
                Kompang Selasih adalah sebuah pasukan kompang yang berpangkalan di Flet Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang. Pasukan ini diketuai oleh En. Irwan bin Amin Suggun yang juga merupakan jurulatih kepada pasukan ini. Beliau telah mengetuai pasukan ini sejak 5 tahun yang lalu. Bertepatan dengan slogan “Pewaris Seni Pusaka Bangsa” Kompang Selasih berhasrat bukan sahaja mempertahankan dan mengembangkan seni permainan kompang ini tetapi mahu menyatukan seluruh pemain pasukan kompang diseluruh Malaysia menerusi satu platform yang akan memudahkan orang ramai mencari dan mengenali pasukan-pasukan kompang yang ada dikawasan mereka. Kompang Selasih membawa satu konsep kompang yang sebenarnya sudah ada di Singapura dan juga di Johor iaitu permainan kompang dengan gendang atau jidur berserta dengan alatan gamelan iaitu canang dan saron.

SEJARAH PENUBUHAN

                Pasukan kompang di Flet Taman Dato’ Ahmad Razali (FTDAR) mula ditubuhkan dalam tahun 1990-an dimana ia diasaskan oleh Ketua Belia FTDAR iaitu En Samsudin. Ketika itu ramai anak muda menyertai pasukan ini. Pada ketika itu pasukan kompang ini bernaung dibawah AJK FTDAR dan juga Persatuan Belia FTDAR. Beliau mengetuai pasukan ini selama.beberapa tahun sebelum terkubur. Kemudian pada tahun 2004 pasukan ini telah dihudpkan semula oleh En. Shahril Tarmidzi. Ketika itu kompang ini mula dikenali sebagai kompang Putra Melayu (PM). Beliau telah menghidupkan semula pasukan kompang ini yang ketika itu agak suram. Dengan bantuan kompang daripada UMNO sebanyak 30 biji pasukan ini kembali beraksi. Tahun 2007 En. Shahril Tarmidzi telah digantikan oleh En. Zul selama 6 bulan. Kemudian kompang PM ini teruskan oleh En. Mohd Akram Hamzah setelah En. Shahril Tarmidzi tidak dapat meneruskan pengurusannya keatas kompang ini. Ketika ini pasukan kompang ini telah dilengkapi dengan jidur sebagai gendang.

ERA EN. IRWAN AMIN SUGGUN

                En. Irwan Amin Suggun dilahirkan pada 19 Mac 1978 di Kuala Lumpur, beliau merupakan anak sulung dari 4 orang adik beradik. Sejak dari kecil beliau memang meminati dengan permainan kompang. Pantang mendengar bunyi kompang dipalu beliau terus berlari dan mencari dari mana arah bunyi kompang itu datang dan setiap kali berkunjung ke majli perkahwinan beliau tidak melepaskan peluang untuk melihat sambil belajar cara bermain kompang. Di zaman remajanya beliau berkeinginan untuk menubuhkan pasukan kompang sendiri dan menyertai mana-mana pasukan kompang tetapi tidak kesampaian. Tetapi perkahwinannya dengan kakak kepada En. Mohd Akram Hamzah pada tahun 2008 yang mana kompang PM juga membuat persembahan telah membuka semula peluang beliau meneruskan minat dalam permainan kompang ini dan meneruskan legasi kompang di FTDAR selepas En. Mohd Akram Hamzah . Sebelum itu beliau sempat melihat pasukan ini berlatih dibawah kendalian En. Mohd Akram Hamzah di Dewan Orang Ramai FTDAR.

BERMULANYA KOMPANG SELASIH   
         
Bermula dari April 2008 En. Irwan  telah mengadakan perbincangan dengan En. Mohd Akram tentang pengambilalihan pasukan kompang ini setelah melihat keadaan yang tidak diurus dengan betul. Selepas 2 bulan perbincangan akhirnya pada 28 Jun 2008 sesi latihan dan pemilihan semula diadakan. Seramai 30 orang ahli baru dan lama terpilih dan bergabung untuk membentuk pasukan kompang PM. Dengan 10 dari 25 biji kompang dan 1 biji jidur yang sudah lama 
dan tetapi masih boleh digunakan, maka pasukan kompang PM dihidupkan semula dibawah En. Irwan dan dibantu oleh En. Mohd Akram. Beliau telah menukar nama dari Putra Melayu kepada Paluan Seni (PS). Ogos 2008 berlangsunglah persembahan pertama kompang PS di Gombak Setia.
               Merasakan betapa perlunya set kompang dan jidur yang baru, En. Irwan dan En. Akram telah memohon bantuan kewangan. Atas inisiatif dari mereka berdua maka wakil Surau Al-Hidayah iaitu surau di FTDAR telah bersetuju untuk menghulurkan bantuan. Pengerusi surau iaitu Tn. Hj Yunus telah memberi bantuan sebanyak rm300 manakala En. Aziz, salah seorang jemaah surau ini juga telah memberi bantuan sebanyak rm200. Dalam masa yang sama bapa kepada En. Mohd Akram iaitu En. Hamzah Jawahir telah memberi bantuan sebanyak RM150 disamping wang simpanan pasukan senyak RM130. Berbekal modal RM880 kompang PS telah membeli 10 biji kompang bersaiz 13 inci dan 1 biji kompang bersaiz 8 inci  dari Johor menerusi seorang jiran bernama En. Daud. Pada Oktober 2008 En. Irwan telah mengeluarkan modal RM500 untuk membeli jidur yang baru bagi menggantikan jidur yang lama juga dari Johor menerusi jiran yang sama iaitu En. Daud. Sebagai permulaan kompang PS diberikan t-shirt berwarna oren berlengan pendek sebanyak 20 helai oleh En. Irwan. Ketika ini kompang PS telah melantik Sdr. Mohd Faizul sebagai Ketua Pesembahan dan dibantu oleh Sdr.Mohd Zaki Ehsan serta Mohd Al-Mustakim Sham sebagai Penolong Ketua Persembahan.
                Seperti yang telah dinyatakan diawal penulisan ini konsep kompang selasih adalah permainan kompang dengan gendang atau jidur berserta dengan alatan gamelan iaitu canang dan saron. Ilham untuk konsep ini datang dari En. Irwan sendiri apabila beliau pergi ke majlis perkahwinan rakan sekerjanya beliau melihat pasukan gamelan mengiringi perarakan  masuk pengantin. Terdetik  dihati beliau alangkah cantiknya kalau kompang ini dapat disatukan dengan gamelan. Selepas beberapa lama mecari, beliau telah terjumpa pasukan kompang yang membawa konsep seperti itu dalam laman youtube. Dari situ beliau berazam membawa konsep ini kedalam kompang PS memandangkan belum ada kompang lain yang seumpamanya di sekitar Kuala Lumpur dan Lembah Kelang. 

PENJENAMAAN SEMULA PASUKAN

                Pada Februari 2009, kompang PS telah melalui proses penjenamaan semula selepas mendapati nama Paluan Seni agak mengelirukan apabila ada yang menyebut Pak Wan Seni. Setelah melalui proses pemilihan nama Kompang Selasih (KS) telah dipilih sebagai ganti. Selepas penjenamaan semula, KS telah diletakkan dibawah naungan Surau Al-Hidayah dengan Tn. Hj Yunus menjadi penaungnya. KS telah mendapat baju baru iaitu baju batik berwarna hijau sebanyak 12 helai hasil dari wang tabungan KS dan potongan dari ahli bernilai RM400. Pada tahun ini keahlian KS berkurangan kepada 15 orang sahaja. KS juga telah mendapat sumbangan songkok percuma dari peniaga songkok di FTDAR. Ketika ini juga berlaku perubahan kepada kompang KS apabila Sdr. Mohd Faizul mengundurkan diri bersama Sdr. Mohd Zaki. Tempat mereka digantikan oleh Sdr. Mohd Al-Mustakim sebgai Ketua Persembahan dan dibantu oleh Sdr. Mohd Asiq Shukur serta Sdr. Ahmad Huzier.
               Penghujung 2009, 5 biji kompang telah dibeli dari Melaka bersama dengan 2 set canang dan mini saron dengan harga RM815. Tahun 2010 KS telah mendapat sepasang baju melayu perak, 3 biji kompang, canang dan mini saron dengan harga RM880. Pada tahun ini juga ahli KS telah menyertai kumpulan Silat Selendang Putih untuk memantapkan lagi persembahan. Tahun 2011KS telah mendapat sepasang baju korporat hasil duit tabungan dan kutipan dari ahli bernilai RM770. Kemudian KS telah menempah khas saron dengan bilah kayu dari Johor bernilai RM250 (2011) dan pada tahun 2012 bilah saron tersebut telah digantikan dengan bilah besi dan canang ditempah khas dari Johor dengan harga RM450. Tahun ini menyaksikan perubahan sekali kepada KS dengan Sdr.Mohd Khairul Ezad Rayan menjadi Ketua Persembahan dibantu oleh Sdr. Ahmad Huzier dan Sdr. Abdul Ismail. Ahli KS juga silih berganti dan tahun 2012 menyaksikan kemasukan ahli baru.
               Tahun 2013 KS sekali lagi berubah apabila Srd. Mohd Khairul Ezad dibantu oleh Sdr. Sugianto dan Sdr. Ikmal Jamal selaku Penolong Ketua Persembahan. Memandangkan ada kemasukan ahli baru,  KS telah menambah satu set kemeja hasil dari wang tabungan dan kutipan dari ahli bernilai RM526.80. Ini kerana ketika ini set baju batik dan t-shirt tidak lagi digunakan manakala baju korporat telah dijadikan sebagai hak milik ahli lama dan yang tinggal hanya baju melayu. Kemeja ini juga menjadi hak milik ahli baru. Sejak mula melangkah sehingga kini KS telah mencapai usia 5 tahun dan ini juga merupakan kebanggan buat En. Irwan dan penduduk FTDAR.

PROMOSI, TEMPAHAN & PERSEMBAHAN

                Pada peringkat awal, KS hanya mempromosikan kompang ini kepada penduduk-penduduk FTDAR, ahli keluarga, rakan taulan dan juga kenalan yang lain. Tetapi pada April 2009 promosi KS memasuki alam maya dengan lahirnya laman sesawang KS iaitu kompangselasih@blogspot.com. Didalam laman ini terdapat info-info tentang KS seperti sejarah, organisasi, jadual persembahan dan tempahan dan lain-lain info berkaitan dengan perkahwinan. Sejak memasuki alam maya banyak tempahan persembahan telah diterima dari sekitar kawasan Ampang, Kuala Lumpur, Lembah Kelang hingga ke Nilai, Negeri Sembilan. Ini membuatkan KS tidak menang tangan melayani permintaan pelanggan.
               Untuk membuat tempahan para pelanggan boleh melayari laman sesawang seperti dinyatakan diatas dan ada disediakan borang tempahan untuk diisi dan tempahan akan terus dihantar ke email KS. Tempahan boleh juga dibuat menerusi email KS iaitu di Paluanseni@gmail.com atau boleh juga berhubung terus dengan En. Irwan Amin Suggun di talian 012-3624140. Harga untuk setiap tempahan bergantung kepada lokasi, jarak dan jenis persembahan samada bersanding sahaja atau bersanding+berinai. Kalau di FTDAR harganya sekitar RM200-RM250, manakala kawasan Ampang, Keramat, Kg. Pandan dan Hulu Kelang RM250-RM300. Untuk kawasan Kuala Lumpur adalah RM300-RM350 dan kawasan luar dari Kuala Lumpur adalah RM350-400. Untuk persembahan silat tambahan RM100 dikenakan. Harga yang telah dinyatakan adalah termasuk bayaran tol dan sewa kenderaan.
                Semenjak memulakan persembahan pertama pada Ogos 2008 di Gombak, KS telah menerima 237 tempahan dan membuat 145 persembahan. Ini kerana ada diantara tempahan tersebut tepaksa dibatalkan, ditolak dan ditunda. Berdasarkan statistik yang telah dibuat, tahun 2008 KS mendapat 8 tempahan dan membuat 5 persembahan. Tahun 2009, 22 tempahan telah diterima dan 19 persembahan telah dibuat. Tahun 2010, 54 tempahan telah diterima dan 32 persembahan telah dibuat. Tahun 2011, 70 tempahan telah diterima dan 39 persembahan telah dibuat. Tahun 2012, 63 tempahan telah diterima dan 36 persembahan telah dibuat dan sehingga bulan Mac 2013, 20 tempahan telah diterima dan 14 persembahan telah dibuat.

PEMBAYARAN DAN HASIL KUTIPAN

                Untuk membuat pembayaran KS telah menggunakan 2 kaedah. Pertama, pelanggan boleh membuat bayaran secara terus selepas habis setiap persembahan. Kedua bayaran boleh dibuat melalui akaun bank CIMBBANK. Walaubagaimanapun, sekiranya pelanggan ingin membuat tempahan, bayaran deposit minimum RM50 boleh diletakkan. Namun, KS mengutamakan keselesaan pelanggan untuk memilih kaedah pembayaran kerana dalam kaedah yang pertama, KS memahami situasi pelanggan semasa & selepas majlis berlangsung dan memberi ruang kepada pelanggan.
               Dari segi kutipan pula sejak tahun 2008 sehingga April 2013 adalah sebanyak RM35,770 dimana pada tahun 2008 (RM1810), 2009(RM3690), 2010(RM7580), 2011(RM9660) dan 2012(RM9230). Sehingga April 2013 sebanyak RM3800 telah dikutip. Daripada jumlah yang telah dikutip, ia dibahagikan untuk pembayaran kepada pemain, pemandu, pengurus dan perbelanjaan lain seperti pembelian baju, alatan lain dan jamuan. Tetapi baki dari bahagian tersebut telah disimpan sebagai tabungan KS sendiri. 

HARAPAN DAN PERANCANGAN MASA DEPAN

                Di masa hadapan, KS mengharapkan kumpulan ini akan terus kekal dengan diterajui oleh bekas ahlinya pula dan akan menjadi antara kumpulan kompang yang terunggul di Malaysia. Kalau boleh dibuka beberapa cawangan kumpulan kompang ini adalah lebih baik. Tetapi untuk masa terdekat ini ada beberapa perancangan lain yang akan dilaksanakan untuk memantapkan lagi persembahan. Ada satu perancangan menarik yang akan dilaksanakan oleh KS iaitu KawanKompang.Blogspot.Com. Laman ini masih dalam perancangan dimana ia akan mengumpulkan semua kumpulan kompang dari seluruh pelusuk tanah air dalam direktori dimana para pelanggan boleh mencari kumpulan kompang yang berhampiran dengan kawasan anda disamping kumpulan kompang boleh mengiklankan kumpulan mereka untuk tujuan perniagaan.  Ini akan membantu dalam usaha memartabatkan seni permainan kompang ini sebagai warisan bangsa yang tak luput ditelan zaman dan kekal sampai bila-bila.