Apakah Hukum Bermain Kompang Dan
Adakah Kompang Alat Muzik Yang Haram?
Untuk menjawab persoalan ini saya
telah membuat kajian pembacaan dan apa yang dapati bahawa hukum bermain kompang
ini termasuk dalam hukum muzik yang bergantung kepada apa jenis alat dan
penggunaannya kerana ada diantaranya yang diharamkan oleh syarak dan ada pula
diharuskan. Oleh itu kedudukan hukum muzik itu sendiri akan tertakluk kepada
perkara-perkara berikut:
i)
Menggunakan alat-alat muzik yang
dilarang oleh syarak, maka kedudukan muzik itu adalah haram.
ii)
Menggunakan alat-alat muzik yang
diharuskan oleh syarak, maka kedudukannya adalah harus seperti memukul ghirbal
(sejenis rebana) sewaktu perkahwinan.
iii)
Bermain alat muzik yang harus, namun
telah dicampur dengan perkara-perkara yang haram seperti nyanyian-nyanyian oleh
golongan wanita dalam keadaan mendedahkan aurat di hadapan golongan lelaki
ajnabi atau bukan mahram dengan suara yang merdu, lirik lagu yang mengandungi
unsur-unsur cinta asmara, percampuran
dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, disertai dengan arak, judi dan
sebagainya. Para ulamak telah sepakat menghukumkan bermain alat muzik dalam
keadaan seperti ini adalah haram.
Persoalan yang timbul sekarang ialah yang mana satukah alat
muzik yang diharamkan oleh syarak dan mana satu yang diharuskan. Adakah semua
alat muzik itu diharamkan atau semuanya diharuskan atau sebahagiannya
diharamkan dan sebahagiannya pula
diharuskan. Jika hukumnya haram, maka apakah pengharaman itu ke atas
alat-alat muzik itu sendiri atau kerana faktor-faktor luar yang beserta dengan
alat-alat muzik tersebut dan apakah pula kedudukan kompang?
i)
Pada
umumnya terdapat tiga pendapat ulamak mengenai kedudukan hukum alat-alat muzik.
Mereka itu ialah:
a)
Yang
mengharamkan semua jenis dan bentuk alat muzik kecuali ad-dufuf iaitu kompang
atau rebana yang dipukul ketika majlis pernikahan kerana terdapat hadis yang
sahih mengenai keharusannya. Namun ia tidak harus memukulnya selain daripada
majlis pernikahan menurut pendapat yang masyhur. Tetapi lawan pendapat yang
masyhur adalah harus memukul alat rebana atau kompang dalam semua
upacara majlis kegembiraan umat Islam.
b)
Yang
mengharuskan semua jenis dan bentuk alat-alat muzik. Mereka berpendapat bahawa
yang haram itu bukalah zat atau ain alat muzik itu sendiri tetapi faktor-faktor
luar yang mengiringinya itu yang menentukan sama ada ia menjadi haram atau
sebaliknya.
c)
Yang
mengaharamkan beberapa jenis alat muzik - iaitu al- Mizmar iaitu seruling atau semua alat yang
ditiup seperti serunai dan seumpamanya, al-Awtar iaitu alat muzik bertali dan Thoblu al-Kubah iaitu gendang kecil yang
ramping di tengah – dan mengharuskan selain daripadanya.
Adat paluan kompang adalah sejajar dengan syara’
Paluan kompang
sebenarnya selaras dengan ruang lingkup syarak dan ia disebut dalam beberapa
hadis Nabi. Misalnya dalil yang paling popular adalah hadis yang diriwayat oleh
Saidatina Aisyah, bahawa pada hari raya aidilfitri atau aidilddha, Abu Bakar
(bapanya) masuk ke rumahnya (rumah ‘Aishah) dan Rasulullah berada di sisinya.
Ketika itu ada dua penyanyi wanita sedang menyanyi mengenai kebanggaan Ansar
pada Hari Bu‘ath (peperangan antara Aus dan Khazraj). Abu Bakar berkata: “Suara
syaitan” (sebanyak dua kali). Nabi bersabda: “Biarkan mereka wahai Abu
Bakar! Setiap kaum ada hari raya dan sesungguh hari ini adalah hari raya kita”.
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Dijelaskan juga dalam
riwayat Muslim menyatakan wanita-wanita itu memukul gendang sebagai alatan
muzik iringan nyanyian mereka. Hadis ini menunjukkan sikap toleransi Nabi yang
tidak melarang hiburan dalam bentuk nyanyian sekalipun berlaku dalam rumah
Baginda. Nabi tidak bersikap keras mengenai hiburan yang kena pada tempatnya.
Bantahan Abu Bakar ditolak Nabi secara berhikmah. Dalam riwayat Imam Bukhari,
juga daripada Saidatina Aisyah bahawa:“Seorang wanita berkahwin dengan lelaki
Ansar, maka Baginda bersabda: Wahai ‘Aisyah! Mengapakah tiada
bersama kamu hiburan? Orang Ansar sukakan hiburan”2.
Secara mudahnya tidak
mejadi kesalahan untuk kita bermain kompang apatah lagi kompang merupakan
tradisi kesenian orang-orang Melayu. Yang penting jangan sampai bercampur
dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak yang boleh membawa kepada
haramnya bermain kompang. Jangan pula kita tidak mahu mengambil kompang untuk
memeriahkan majlis atas alasan hukumnya haram kerana persoalan berkenaan
dengan hukum alat muzik termasuklah kompang merupakan satu perkara yang menjadi
khilaf (perselisihan pendapat) di kalangan ulamak. Mereka tidak sepakat
mengenainya. Ini bermakna ia tidak termasuk dalam perkara ijmak para ulamak.
Dengan ini, maka
sewajarnyalah kita saling meraikan dan menghormati pendapat atau pendirian
golongan yang mungkin berbeza dengan pendapat atau pendirian kita. Kita tidak
boleh menghukum secara muktamad umpamanya mengatakan bahawa dia adalah haram
sama sekali dan sesiapa yang menggunakannya, maka dia berdosa, menjadi fasik
dan ditolak kesaksiannya.